Cara Seorang Isteri Menangani Tekanan dan Tekanan Seorang Isteri


Hi all nampak tak gambar perempuan dekat atas tu? Banyak hal yang membuatkan seorang wanita tertekan. Pasti ada antara kita mengalami hal yang sama kan? Lagi-lagi wanita bekerjaya dan sudah berumahtangga.

Tiga tanggungjawab Seorang Wanita

  1. Tanggungjawab sebagai seorang ibu
  2. Tanggungjawab sebagai seorang isteri
  3. Tanggungjawab sebagai seorang pekerja
Nampak tak pecahan tanggungjawab seorang wanita bekerjaya dan berumahtangga? Lagi-lagi zaman sekarang di mana wanita digalakan untuk bekerja bagi membantu perkembangan ekonomi. Jadi memang tidak hairanlah banyak wanita sekarang yang sudah berkahwin tetapi masih bekerja bagi membantu menyokong ekonomi keluarga. Zaman sekarang memang susah dibandingkan dengan dahulu. Jadi, sebagai wanita yang bekerja dan bekeluarga pasti mengalami tekanan. 

Tekanan Seorang Ibu


Pernahkah kamu mengalami situasi di mana seharian penat bekerja di pejabat, menyiapkan segala tugasan di pejabat, sampai masa untuk balik rumah bukan dapat berehat terus tetapi tanggungjawab sebagai ibu sebenarnya baru sahaja bermula. Penatkan? Ya, itulah yang dihadapi oleh kebanyakan wanita bekerjaya dan berumahtangga. Lagi-lagi sekiranya anak sudah dua tiga orang atau anak masih kecil. Seperti saya, umur anak baru mahu mencapai 2 tahun memang penatlah, setelah habis masa bekerja, balik rumah perlu melayan karenah anak lagi, memang kadang-kadang anak menjadi mangsa tekanan. Sebab itu sebagai seorang ibu perlulah mengetahui kaedah untuk mengawal emosi agar anak tidak menjadi mangsa. Kasihan itu anak. Mereka masih kecil, hanya tahu bermain sahaja. Macam kita juga masih kecil, inilah yang ibu kita rasakan semasa membesarkan kita. Memang penat.

Tekanan Seorang Isteri


Kadang bukan anak sahaja yang boleh beri tekanan kepada wanita tetapi lelaki juga. Kadang balik rumah isteri penat-penat, lelaki bukan tolong mengurus anak di rumah, tidak menolong basuh kain kotor, tidak membantu isteri memasak tetapi malar sibuk main game MOBILE LEGEND! (Maaf agak emosi sebab husband saya pemain mobile legend) memang bikin marah! Ini logat Sabah ya hehe) Jadi situasi seperti ini memang mampu memberi tekanan kepada wanita. Sebab wanita juga perlukan rehat. Wanita perlu dibantu untuk menguruskan rumah tangga sebab jika wanita dibiarkan terkontang-kanting menguruskan rumahtangga maka wanita akan menjadi stress.


Tekanan Seorang Pekerja


Di rumah sudah penat menguruskan rumahtangga, penat melayan karenah anak dan suami, di tempat kerja berhadapan pula dengan tugas-tugas di pejabat, memang stress sentiasa ada. Apa lagi wanita yang mempunyai high commitment macam saya (hehe riak lah pula) memang cuba buat yang terbaik semasa menjalankan tugas jadi tekanan itu memang ada di bahu wanita. Selain itu, orang-orang di sekeliling kawasan tempat kerja juga boleh mempengaruhi tekanan perasaan wanita tersebut. Yalah kalau ada orang yang tidak mahu bekerjasama memanglah akan buat orang tertekan kan? (Ini berdasarkan pengalaman saya di tempat kerja sekarang)


Jadi seorang wanita memang sukar kan? Memang inilah yang dihadapi oleh ibu kita. Jika diberi pilihan saya prefer balik masa waktu kecil, duduk bawah ketiak ibu bapa ja. Lebih seronok tanpa stress dan tekanan. Tapi apa boleh buat, inilah hidup macam mana pun harus diharungi juga. Jadi jom kita beralih cara untuk menangani tekanan seorang isteri. Saya beri beberapa langkah sahaja yang saya telah praktiskan selama menjadi seorang isteri ni.

Berfikiran Positif

Sering down itu sudah perkara biasa yang berlaku dalam kehidupan sampai kadang terfikir adakah perkara ini permulaan kepada depression? Tapi yang paling penting berfikirlah secara positif. Jangan biar fikiran negatif menguasi kita. Contohnya, macam saya sering terfikir, kenapa kehidupan saya setiap hari sama? Pagi datang kerja, petang balik kerja, masak, layan anak, tidur, lepas tu buat rutin yang sama. Hendak bercuti untuk tenangkan fikiran kewangan tidak cukup. Saya percaya pasti ada wanita yang mengalami situasi seperti saya. Apatah lagi yang baru belajar menjadi seorang isteri. Tetapi apa yang saya lakukan adalah saya motivasikan diri sendiri, fikir secara positif yang keadaan ini tidak akan berlanjutan selama-lamanya, saya pasti akan cari jalan untuk keluar dari kehidupan begini.

Cari hobi

Adakah perkara yang boleh buat kamu gembira? Contoh seperti tengok movie yang lucu, tengok movie cintan-cintun (hehe) atau seperti saya kadang layan movie kungfu chinese haha sebab movie ni boleh hilangkan boring atau boleh tenangkan fikiran sebab movie boleh bawa kita pi tempat lain maksud saya masuk dalam movie tersebut. Atau jika kamu minat menyanyi, download Smule, melalak sepuas hati pasti boleh hilangkan tekanan. Atau pergi beriadah, tenangkan fikiran. Keluarkan peluh, pasti kita akan rasa lebih baik. 

Cari Kawan untuk Luahan Perasaan

Orang cakap hal rumahtangga jangan dikongsi dengan orang lain tapi saya sarankan agar kamu cari orang yang boleh kamu percaya untuk meluahkan perasaan. Orang ini sama ada kawan rapat atau keluarga haruslah orang yang boleh kamu percaya untuk tidak menyebarkan cerita kamu kepada orang lain. Sebab makin dipendam segala rasa, makin kamu akan rasa tertekan jadi sebaiknya cari orang untuk luahkan rasa tersebut. Contoh macam saya, saya akan luahkan masalah saya kepada partner saya, kawan sekerja saya di pejabat dan saya percaya dengan dia jadi tidak ada masalah untuk saya meluahkan perasaan dan kadang kala minta pendapat dengan dia. Selepas meluahkan perasaan kita, pasti kita akan rasa beban di bahu ada berkurang sedikit berbanding dipendam semuanya di dalam hati. Tapi perlu diingatkan, jangan cerita sehingga details 100% sebab kita juga perlu menjaga aib kita dan keluarga kita dan juga kita mesti tahu menilai sama ada kawan yang kita luahkan perasaan itu boleh dipercayai atau tidak.

Oleh itu, itulah tiga tekanan yang dihadapi oleh wanita bekerjaya dan berumahtangga dan juga tiga cara untuk menangani tekanan tersebut. Jadi, untuk coretan kali ini, ini sahaja yang dapat saya kongsikan semoga bermanfaat kepada wanita-wanita di luar sana yang menghadapi cabaran seperti saya. Jika ada sebarang komen saya akan terima dengan senang hati dan perbaiki tulisan saya ini. Terima kasih.



Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Temuduga Pegawai Perhubungan Perusahaan S41

Pekan Beaufort

Keluhan Seorang Isteri